REFUGEE DESK - SUARAM

Thursday 28 July 2011

Kenapa Malaysia Perlu mempersetujui Konvensyen 1951?

Memberi perlindungan secara rasmi kepada pelarian

Pelarian merupakan kumpulan individu yang melarikan diri dari negara asal mereka atas sebab keselamatan dan memerlukan perlindungan antarabangsa. Dengan menyetujui Konvensyen 1951 dan protokol 1967, kerajaan Malaysia dapat memberikan perlindungan secara rasmi bagi melindungi kumpulan tersebut. Ia juga dapat merangsang kewujudan perundangan domestik bagi melindungi dan mengiktiraf status pelarian. Pelarian di Malaysia, secara umunya tidak dilindungi dari aspek perundangan dan tidak mempunyai hak khusus dalam beberapa aspek termasuk pekerjaan dan pendidikan. Pelarian sering kali ditahan oleh pihak berkuasa di bawah kesalahan-kesalahan imigrasi. Kemudian , mereka hanya akan dilepaskan selepas mendapat kerjasama dan pengesahan status oleh UNHCR atas dasar kemanusiaan. 


Menjaga imej Malaysia di peringkat antarabangsa



Malaysia merupakan salah sebuah  ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) bagi penggal 2010-2013. Namun, pendedahan dalam laporan-laporan lepas (USCRI:2009, TIP 2009 and etc.) berkaitan penganiyaan dan pencabulan hak asasi manusia ke atas pelarian telah memburukkan  imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, tiada sebarang tindakan proaktif atau mekanisme telah diambil bagi menangani isu-isu penganiyaan dan pencabulan hak pelarian seperti yang terkandung dalam Konvensyen 1951 dan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (1948).




Justeru, dengan menyetujui Konvensyen 1951 dan protokol 1967, Malaysia dapat mengatasi masalah-masalah berkaitan penganiayaan dan pencabulan hak pelarian dengan  mengiktiraf kehadiran dan hak mereka di negara ini. Dengan mengiktiraf hak mereka, pencabulan dan penganiayaan tersebut dapat dibendung seterusnya dapat memperbaiki imej Malaysia diperingkat global. 

Mengelak konflik antara negara penerima dan negara asal pelarian



Jika Malaysia menyetujui Konvensyen 1951, segala tindak tanduknya dalam melindungi pelarian adalah berdasarkan lunas-lunas perundangan seperti yang termaktub dalam konvensyen tersebut. Sebaliknya jika kerajaan tidak menyetujui konvensyen tersebut tetapi memberi perlindungan kepada pelarian berdasarkan semangat kemanusiaan semata-mata, ia mampu mencetuskan konflik di antara negara destinasi (Malaysia) dan negara asal pelarian. 


Dalam kebanyakan kes, pelarian adalah kumpulan manusia yang melarikan diri dari konflik dan pencabulan yang dilakukan oleh kerajaan di negara asal. Oleh itu, kumpulan pelarian ini merentasi sempadan (keluar negara) dalam usaha untuk mendapat perlindungan antarabangsa, khususnya di negara destinasi. Dengan memberi perlindungan kepada kumpulan pelarian tersebut, ia mampu mencetuskan rasa tidak puas hati pihak kerajaan negara asal pelarian. Namun jika perlindungan kepada pelarian tersebut berlandaskan lunas-lunas perundangan maka ia jelas bukan sekadar pemberian perlindungan berdasarkan semangat kemanusiaan malah komitmen kepada peruntukan yang terkandung dalam Konvensyen 1951. Ini dapat membendung daripada berlakunya pergeseran di antara negara destinasi (Malaysia) dan negara asal pelarian.

Menunjukkan komitmen Malaysia menerusi “perkongsian beban” dalam menangani isu-isu global


Pelarian merupakan satu isu global. Isu pelarian juga merupakan isu kemanusiaan yang memerlukan sokongan masyarakat antarabangsa untuk meringankan beban yang ditanggung oleh pelarian.


Sebagai sebuah negara destinasi kepada pelarian, Malaysia sepatutnya menunjukkan komitmennya dalam berkongsi beban dan kesukaran yang dihadapi pelarian. Perkongsian beban ini hanya boleh dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan menyetujui Konvensyen 1951 seterusnya mengiktiraf hak pelarian dan memberikan perlindungan sewajarnya.



Mewujudkan pengurusan pelarian secara efektif dengan kerjasama UNHCR


UNHCR merupakan pelindung “guardian” tunggal kepada Konvensyen 1951. Dengan menyetujui konvensyen ini, Malaysia akan menjalin kerjasama dengan UNHCR bagi megurus tadbir pelarian. Ia juga dapat mewujudkan satu bentuk mekanisme dan koordinasi kerjasama dalam mengurus pelarian dan pencari suaka di Malaysia. Ini bermakna kerajaan Malaysia akan bekerjasama secara rasmi dengan UNHCR dan ini akan memudahkan kerajaan memantau pergerakan, pengurusan dokumentasi dan statistik pelarian dan pencari suaka secara strategik. Selain itu, dengan menandatangani konvensyen ini, Malaysia secara langsung mempunyai komitmen dan perjanjian bertulis (rasmi) dalam mengurus tadbir hal ehwal berkaitan pelarian


Membantu mengurangkan kapasiti tahanan di depoh-depoh imigrasi



Dengan menyetujui Konvensyen 1951 dan Protokolnya 1961, kerajaan diharap mengiktiraf status pelarian dan membolehkan mereka mempunyai status yang sah dari sisi undang-undang. Ini menjadikan pelarian sebagai kumpulan yang tidak menjadi sasaran/subjek dalam operasi berkaitan imigrasi dan tidak ditahan secara arbitrary seterusnya dihantar ke depoh-depoh tahanan imigrasi. Kebanyakan depoh tahanan imigrasi sudah melebihi kapasiti umum di mana tahanan terpaksa tinggal dalam keadaan sesak dan berhadapan pelbagai ancaman penyakit. (Working Group on Arbitrary Detention, Mission in Malaysia, 2010). Justeru dengan mengiktiraf status mereka, tiada lagi pelarian dan pencari suaka akan ditahan dan dihantar ke depoh tahanan imigrasi sementara kapasiti tahanan dapat dikurangkan. Ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan khususnya dalam mengurus tadbir depoh-depoh tahanan tersebut.




Menampung kekurangan tenaga buruh



Dengan mempersetujui Konvensyen 1951, pelarian dibenarkan bekerja secara sah di negara ini. Mengambil kira statistik pelarian berdaftar yang mencecah hampir 100,000 orang, setakat awal tahun 2011, ia merupakan satu sumber potensi tenaga buruh yang besar bagi menampung kekurangan sumber buruh yang dihadapi negara dalam beberapa sektor ekonomi. Pembangunan ekonomi Malaysia bergantung dengan sumber tenaga buruh, khususnya dari luar negara. Walaupun kerajaan telah mengumumkan akan mengurangkan sumber buruh asing, namun keperluan dalam pertumbuhan ekonomi negara masa kini masih memerlukan khidmat mereka. Buktinya, wujud usaha dari Kementerian Sumber Manusia untuk membawa masuk sekitar 45,000 buruh asing dari India pada awal tahun 2011 bagi menampung keperluan tenaga buruh dalam beberapa sektor ekonomi domestik. 


Dengan menyetujui konvensyen tersebut seterusnya membenarkan pelarian berdaftar bekerja secara sah, kekurangan buruh tersebut dapat ditampung oleh pelarian berdaftar yang sedia ada. Ini merupakan satu alternatif baik bagi mengurangkan perbelanjaan negara dalam usaha membawa masuk sumber tenaga baru dari luar negara dengan memanfaatkan sumber sedia ada di negara ini. 

DISEDIAKAN OLEH, 
SUARAM.

No comments:

Post a Comment