REFUGEE DESK - SUARAM

Thursday 28 July 2011

Kenapa Malaysia Perlu mempersetujui Konvensyen 1951?

Memberi perlindungan secara rasmi kepada pelarian

Pelarian merupakan kumpulan individu yang melarikan diri dari negara asal mereka atas sebab keselamatan dan memerlukan perlindungan antarabangsa. Dengan menyetujui Konvensyen 1951 dan protokol 1967, kerajaan Malaysia dapat memberikan perlindungan secara rasmi bagi melindungi kumpulan tersebut. Ia juga dapat merangsang kewujudan perundangan domestik bagi melindungi dan mengiktiraf status pelarian. Pelarian di Malaysia, secara umunya tidak dilindungi dari aspek perundangan dan tidak mempunyai hak khusus dalam beberapa aspek termasuk pekerjaan dan pendidikan. Pelarian sering kali ditahan oleh pihak berkuasa di bawah kesalahan-kesalahan imigrasi. Kemudian , mereka hanya akan dilepaskan selepas mendapat kerjasama dan pengesahan status oleh UNHCR atas dasar kemanusiaan. 


Menjaga imej Malaysia di peringkat antarabangsa



Malaysia merupakan salah sebuah  ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) bagi penggal 2010-2013. Namun, pendedahan dalam laporan-laporan lepas (USCRI:2009, TIP 2009 and etc.) berkaitan penganiyaan dan pencabulan hak asasi manusia ke atas pelarian telah memburukkan  imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Sehingga kini, tiada sebarang tindakan proaktif atau mekanisme telah diambil bagi menangani isu-isu penganiyaan dan pencabulan hak pelarian seperti yang terkandung dalam Konvensyen 1951 dan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (1948).




Justeru, dengan menyetujui Konvensyen 1951 dan protokol 1967, Malaysia dapat mengatasi masalah-masalah berkaitan penganiayaan dan pencabulan hak pelarian dengan  mengiktiraf kehadiran dan hak mereka di negara ini. Dengan mengiktiraf hak mereka, pencabulan dan penganiayaan tersebut dapat dibendung seterusnya dapat memperbaiki imej Malaysia diperingkat global. 

Mengelak konflik antara negara penerima dan negara asal pelarian



Jika Malaysia menyetujui Konvensyen 1951, segala tindak tanduknya dalam melindungi pelarian adalah berdasarkan lunas-lunas perundangan seperti yang termaktub dalam konvensyen tersebut. Sebaliknya jika kerajaan tidak menyetujui konvensyen tersebut tetapi memberi perlindungan kepada pelarian berdasarkan semangat kemanusiaan semata-mata, ia mampu mencetuskan konflik di antara negara destinasi (Malaysia) dan negara asal pelarian. 


Dalam kebanyakan kes, pelarian adalah kumpulan manusia yang melarikan diri dari konflik dan pencabulan yang dilakukan oleh kerajaan di negara asal. Oleh itu, kumpulan pelarian ini merentasi sempadan (keluar negara) dalam usaha untuk mendapat perlindungan antarabangsa, khususnya di negara destinasi. Dengan memberi perlindungan kepada kumpulan pelarian tersebut, ia mampu mencetuskan rasa tidak puas hati pihak kerajaan negara asal pelarian. Namun jika perlindungan kepada pelarian tersebut berlandaskan lunas-lunas perundangan maka ia jelas bukan sekadar pemberian perlindungan berdasarkan semangat kemanusiaan malah komitmen kepada peruntukan yang terkandung dalam Konvensyen 1951. Ini dapat membendung daripada berlakunya pergeseran di antara negara destinasi (Malaysia) dan negara asal pelarian.

Menunjukkan komitmen Malaysia menerusi “perkongsian beban” dalam menangani isu-isu global


Pelarian merupakan satu isu global. Isu pelarian juga merupakan isu kemanusiaan yang memerlukan sokongan masyarakat antarabangsa untuk meringankan beban yang ditanggung oleh pelarian.


Sebagai sebuah negara destinasi kepada pelarian, Malaysia sepatutnya menunjukkan komitmennya dalam berkongsi beban dan kesukaran yang dihadapi pelarian. Perkongsian beban ini hanya boleh dilakukan oleh kerajaan Malaysia dengan menyetujui Konvensyen 1951 seterusnya mengiktiraf hak pelarian dan memberikan perlindungan sewajarnya.



Mewujudkan pengurusan pelarian secara efektif dengan kerjasama UNHCR


UNHCR merupakan pelindung “guardian” tunggal kepada Konvensyen 1951. Dengan menyetujui konvensyen ini, Malaysia akan menjalin kerjasama dengan UNHCR bagi megurus tadbir pelarian. Ia juga dapat mewujudkan satu bentuk mekanisme dan koordinasi kerjasama dalam mengurus pelarian dan pencari suaka di Malaysia. Ini bermakna kerajaan Malaysia akan bekerjasama secara rasmi dengan UNHCR dan ini akan memudahkan kerajaan memantau pergerakan, pengurusan dokumentasi dan statistik pelarian dan pencari suaka secara strategik. Selain itu, dengan menandatangani konvensyen ini, Malaysia secara langsung mempunyai komitmen dan perjanjian bertulis (rasmi) dalam mengurus tadbir hal ehwal berkaitan pelarian


Membantu mengurangkan kapasiti tahanan di depoh-depoh imigrasi



Dengan menyetujui Konvensyen 1951 dan Protokolnya 1961, kerajaan diharap mengiktiraf status pelarian dan membolehkan mereka mempunyai status yang sah dari sisi undang-undang. Ini menjadikan pelarian sebagai kumpulan yang tidak menjadi sasaran/subjek dalam operasi berkaitan imigrasi dan tidak ditahan secara arbitrary seterusnya dihantar ke depoh-depoh tahanan imigrasi. Kebanyakan depoh tahanan imigrasi sudah melebihi kapasiti umum di mana tahanan terpaksa tinggal dalam keadaan sesak dan berhadapan pelbagai ancaman penyakit. (Working Group on Arbitrary Detention, Mission in Malaysia, 2010). Justeru dengan mengiktiraf status mereka, tiada lagi pelarian dan pencari suaka akan ditahan dan dihantar ke depoh tahanan imigrasi sementara kapasiti tahanan dapat dikurangkan. Ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan khususnya dalam mengurus tadbir depoh-depoh tahanan tersebut.




Menampung kekurangan tenaga buruh



Dengan mempersetujui Konvensyen 1951, pelarian dibenarkan bekerja secara sah di negara ini. Mengambil kira statistik pelarian berdaftar yang mencecah hampir 100,000 orang, setakat awal tahun 2011, ia merupakan satu sumber potensi tenaga buruh yang besar bagi menampung kekurangan sumber buruh yang dihadapi negara dalam beberapa sektor ekonomi. Pembangunan ekonomi Malaysia bergantung dengan sumber tenaga buruh, khususnya dari luar negara. Walaupun kerajaan telah mengumumkan akan mengurangkan sumber buruh asing, namun keperluan dalam pertumbuhan ekonomi negara masa kini masih memerlukan khidmat mereka. Buktinya, wujud usaha dari Kementerian Sumber Manusia untuk membawa masuk sekitar 45,000 buruh asing dari India pada awal tahun 2011 bagi menampung keperluan tenaga buruh dalam beberapa sektor ekonomi domestik. 


Dengan menyetujui konvensyen tersebut seterusnya membenarkan pelarian berdaftar bekerja secara sah, kekurangan buruh tersebut dapat ditampung oleh pelarian berdaftar yang sedia ada. Ini merupakan satu alternatif baik bagi mengurangkan perbelanjaan negara dalam usaha membawa masuk sumber tenaga baru dari luar negara dengan memanfaatkan sumber sedia ada di negara ini. 

DISEDIAKAN OLEH, 
SUARAM.

APA ITU KONVENSYEN PELARIAN 1951

Latar Belakang Konvensyen 1951

Perang dunia kedua yang berakhir pada 1945 menyaksikan hampir 60 juta nyawa terkorban. Sebahagian besarnya adalah rakyat biasa. Selain terbunuh sewaktu perperangan, ramai nyawa juga terkorban berikutan penularan penyakit berbahaya akibat kemusnahan total alam sekitar. Kemusnahan, ancaman penularan wabak berbahaya, pembunuhan dan konflik bersenjata telah memaksa jutaan manusia melarikan diri dari negara asal ke negara berdekatan untuk mendapat perlindungan. Kebanyakan pelarian yang tertumpu di benua Eropah tersebut bagaimanapun menghadapi kesukaran untuk mendapat perlindungan akibat ketiadaan undang-undang antarabangsa bagi melindungi mereka.


Definisi dan skop 

Konvensyen tersebut telah mengkategorikan siapa pelarian dan apakah jenis perlindungan perundangan dan hak-hak sosial yang perlu diberikan kepada pelarian.

Konvensyen 1951 mendefinasikan pelarian sebagai:

… individu/kumpulan/sesiapa sahaja yang terpaksa meninggalkan negara asal mereka disebabkan ketakutan akan diseksa atas faktor nasional, agama, kewarganegaraan, penglibatan dan pandangan politik serta tidak mendapat sebarang sebarang perlindungan daripada negara tersebut (negara asal mereka)…”



Apakah Kepentingan Konvensyen 1951

Konvensyen 1951 merupakan perjanjian antarabangsa yang pertama bagi melindungi aspek-aspek fundamental pelarian. Ia juga menggariskan satu set hak asasi manusia yang perlu diberikan kepada pelarian. Konevensyen ini juga merupakan satu rangsangan kepada kepentingan tentang kerjasama antarabangsa termasuk kempen berkongsi beban “burden sharing” dalam menangani masalah-masalah global khususnya isu pelarian.


Apakah yang terkandung dalam Konvensyen 1951?

Konvensyen 1951 menggariskan variasi hak yang perlu diberikan kepada mereka. Ini termasuk, kebebasan beragama dan bergerak, hak untuk bekerja, pendidikan dan dokumen perjalanan. Yang lebih penting, negara tidak boleh menghantar pulang pelarian ke negara asal mereka dengan hujah mereka akan berhadapan dengan pelbagai ancaman di negara asal.

Interpretasi Konvensyen 1951, bagaimanapun adalah terhad bagi melindungi pelarian di Eropah dan diluar Eropah pada tempoh masa sebelum Januari 1 1951. Menyedari keterbatasan interpretasi ini telah mewujudkan satu lagi instrumen perundangan antarabangsa berkaitan pelarian yang dikenali sebagai Protokol 1967.  

Apakah itu Protokol 1967?

Protokol 1967 merupakan instrumen perundangan antarabangsa berkaitan perlindungan pelarian yang diwujudkan bagi menyelesaikan keterbatasan interpretasi dalam konteks georgrafi (di Eropah) dan waktu (kejadian yang berlaku sebelum 1951) yang terkandung dalam Konvensyen 1951. Negara yang menandatangani Konvensyen 1951 digesa agar menyetujui Protokol 1967 bagi memastikan pelarian mendapat perlindungan sewajarnya.  


Apakah hak-hak pelarian yang terkandung dalam konvensyen tersebut?
  1. Hak untuk tidak dihantar pulang secara paksa ke negara lain (termasuk negara asal) di mana pelarian tersebut mungkin berhadapan penganiayaan – Artikel 33
  2. Pengecualian/pembebasan daripada sebarang bentuk hukuman dari memasuki mana-mana wilayah/kawasan di negara parti secara tidak sah – Artikel 31
  3. Hak untuk mendapatkan pekerjaa – Artikel 17
  4. Hak untuk mendapatkan penempatan/perumahan – Artikel 21
  5. Hak untuk mendapatkan pendidikan – Artikel 22
  6. Hak untuk mendapatkan bantuan umum/sokongan – Artikel 23
  7. Hak untuk kebebasan beragama dan akses kepada pengadilan – Artikel 4 dan 16
  8. Hak dan kebebasan bergerak – Artikel 26
  9. Hak untuk diberikan status/identiti dan dokumen perjalanan sah – Artikel 27 dan 28
 
Pejabat Suruhanjaya tInggi bagi Orang Pelarian di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR)

UNHCR merupakan agensi yang ditubuhkan di bawah payung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 1950. UNHCR merupakan agensi yang diberi mandat untuk melindungi pelarian dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi pelarian di seluruh dunia. Tujuan utama penubuhannya ialah bagi melindungi hak dan kehidupan pelarian. Ia bagi memastikan setiap individu berhak untuk mendapatkan hak perlindungan dan selamat di negara lain dan/atau diberikan peluang untuk kembali ke negara asal mereka secara sukarela, integrasi dan dihantar ke negara ketiga. UNHCR juga bertanggungjawab dalam memastikan setiap pelarian mendapat perlindungan antarabangsa seperti yang terkandung dalam Konvensyen 1951 dan beberapa konvensyen lain berkaitan pelarian. Dalam konteks Malaysia, UNHCR bertanggungjawab mempromosikan hak asasi fundamental bagi setiap pelarian dan pencari suaka dan memastikan mereka tidak dihantar ke negara asal mereka secara paksa, di mana nyawa mereka akan diancam. 

Fokus: Cabaran selepas 60 Tahun

Pada 28 Julai, 2011 merupakan ulang tahun ke-60 Konvensyen 1951. Persoalan yang sering timbul ialah sejauhmana konvensyen (termasuk Protokol 1967) ini masih relevan dan boleh diguna pakai? Walaupun statistik dan landskap migrasi dan pergerakan manusia (khususnya pelarian) di abad ke-21 sudah meningkat dan berubah, Konvensyen 1951 dan Protokol 1967 masih relevan dan masih diperlukan sebagai pelindung kepada hak dan keselamatan pelarian. Konvensyen 1951 dan Protokol 1967 telah membantu hampir 50 juta manusia (pelarian) dalam pelbagai keadaan. Di mana sahaja wujud pencabulan hak asasi dan penganiayaan terhadap pelarian, di situ konvensyen ini memainkan peranannya sebagai pelindung kepada mereka.  



Disediakan oleh, 
SUARAM
2011